MENGENAL INDAHNYA ISLAM...

الحمدلله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه أجمعين

Friday, 21 December 2007

~Zikir, Al-Qur'an Jernih Hati Mukmin~

بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT. Artikel ini adalah di antara artikel yang paling memberi kesan pada jiwa kerdil saya. Hati saya tersentuh, Iman saya terusik. Subhanallah. Hati orang mukmin terlalu istimewa, kerana di situlah jatuhnya pandangan Allah. Terima kasih kepada Ustaz Juanda Jaya, maka itu saya ingin sekali berkongsi kebaikanya agar dapat meningkatkan iman dan taqwa kita dan semoga beroleh manfaat, insya Allah.
-----------------------------------

Zikir, Al-Quran jernih hati mukmin
Tajdid Iman : Dr Juanda Jaya

KETIKA berada di bawah tekanan yang menyempitkan dada, lazimnya fikiran akan bercelaru, jiwa tergoncang dan tiada yang menyelimuti perasaan melainkan kesedihan dan putus asa. Tekanan kehidupan silih berganti merempuh jiwa.
Kadang-kadang ia menyebabkan kita menjadi hilang kawalan, sekali gus hilang keimanan. Begitulah ujian yang menyebabkan matinya hati, kerasnya jiwa dan tawarnya perasaan. Satu langkah untuk menghidupkan kembali hati yang tercedera adalah dengan menyahut seruan Allah dan Rasul-Nya.

Satu resipi daripada al-Quran yang agung, firman Allah bermaksud:
“Wahai orang yang beriman, penuhilah seruan Allah dan seruan Rasul apabila Rasul menyeru kalian kepada sesuatu yang memberi kehidupan kepada kalian, dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah membatasi antara manusia dan hatinya.” (Surah Al-Anfal, ayat 24)

Hati memerlukan makanan yang paling berkhasiat supaya tetap bertenaga melawan nafsu syahwat yang mengganggunya. Menyahut seruan Allah dan Rasul bermakna berada dalam ikatan Allah dan Rasul-Nya di mana saja berada. Dalam keadaan sibuk atau senang, dengan langkah kaki yang berat atau ringan, hati yang benci atau suka, namun tetap menyahut seruan Allah dengan taat dan setia. Kadang-kadang kita mesti memaksa diri untuk melawan hasrat nafsu. Sebelum kejahatan itu berubah menjadi amalan harian dan kebiasaan buruk susah ditinggalkan.

Menyahut seruan Allah mampu menghidupkan hati. Sesungguhnya manusia sentiasa mengalami kematian dan hidup semula. Iaitu ketika hati mereka mati kemudian disimbah cahaya iman sehingga ia hidup kembali. Keadaan ini berulang-ulang dialami setiap insan. Bagaimana mungkin ia tidak sedar ketika hatinya mengalami sakaratul maut? Untuk itu, Al-Quran mengajarkan kita sentiasa bermohon kepada Allah supaya hati tidak tersesat dan mati berulang kali.

Allah berfirman bermaksud:
“Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan selepas Engkau beri petunjuk kepada kami.” (Surah Ali Imran, ayat 8)

Jika orang beriman melakukan maksiat kepada Allah ataupun kejahatan kepada sesama manusia, dia berasa seolah-olah berlaku suatu kesempitan yang menekan dalam hatinya dan kesakitan adalah seperti mana sakitnya merasai sakaratul maut. Kulitnya berpeluh dan pucat, takut balasan seksa Allah . Adakah ia akan dibalas langsung di dunia ataupun disimpan hingga di akhirat untuk menjadi bakaran api neraka. Dosa itu menghantuinya ke mana saja dia pergi.

Begitu juga sebaliknya jika seseorang dalam keadaan beribadat dan taat kepada Allah serta berbuat baik kepada sesamanya, hatinya terasa lapang, wajahnya ceria, tutur katanya menyenangkan hati sesiapa yang mendengar, akalnya bertambah tajam, bijak dan luas pandangan.

Seperti sabda Baginda bermaksud:
“Jika cahaya masuk ke dalam hati, maka ia akan menjadi terang dan luas. Mereka bertanya: Apakah tanda-tandanya, wahai Rasulullah? Baginda bersabda: Mendekatkan diri kepada negeri yang abadi (akhirat), menjauhkan diri daripada negeri yang pasti hancur (dunia) serta mempersiapkan diri untuk mati sebelum ia datang.” (Hadis riwayat al-Tirmizi)

Hidupnya hati berkait rapat dengan ingatan kita kepada akhirat. Ramai orang yang ingat akhirat, tetapi berapa ramai yang ingat dan bersiap-siap berangkat menuju ke sana? Ada pula orang yang terlalu ghairah hendak pergi ke sana hingga apa saja yang ada di dunia ini adalah umpama syaitan dan musuh bagi dirinya.
Isteri diabaikan dan anak yang menjadi amanah dibiarkan macam syaitan. Kerjaya dan harta dilupakan kerana terlalu tekun memegang idealisme yang kononnya daripada agama, padahal dia tersesat dan mabuk oleh zikir yang membenci dunia.

Padahal agama adalah rahmat bagi seluruh dunia. Jika penganut agama ini tidak difungsikan sebagai pentadbir dunia, maka dia akan dibinasakan oleh penguasa bersifat duniawi. Maknanya mereka membiarkan orang kafir meneraju setiap bidang kehidupan, sementara orang Islam menjadi tawanan abdinya. Semua ini bukan ajaran Baginda. Mereka yang berfahaman sebegini sebenarnya tidak mengerti mengenai Islam.

Mencari bekal akhirat tidak bermakna membenci dunia. Kita hanya membenci kekufuran dan apa saja yang menuju ke arah itu. Jika dunia dijalani dengan penuh tanggungjawab keimanan, maka tiada masalah bagi orang Islam untuk menjadi manusia terkaya dan terhebat mentadbir dunia. Duduk bersama orang kafir, tetapi sama sekali tidak terpengaruh ajakan kufur mereka. Begitulah sifat orang yang hatinya hidup. Terang dan luas seperti sabda Baginda SAW. Tiada tekanan yang menjejaskan imannya. Jika ia wujud sekalipun, ia hanyalah kerikil tajam yang mustahil mematikan hatinya.

Oleh itu, dia amat memerhatikan kesejahteraan hati. Jika ada tempat paling tinggi dan mahal harganya, suci lagi diagungkan, itulah hati nurani sendiri. Dia amat mencintai hatinya. Setiap hari hatinya sentiasa disentuh dengan kelembutan ilmu dan pengabdian diri kepada Allah .

Dia tidak akan membiarkan hatinya kekeringan hidayah dan petunjuk daripada Allah , jauh sekali membiarkannya mati oleh kefasikan dan maksiat. Hati orang mukmin terlalu istimewa, kerana di situlah jatuhnya pandangan Allah . Baik dan buruk seseorang bergantung kepada hati kerana ia adalah cerminan amal perbuatannya.

Proses menghidupkan hati memerlukan pengorbanan sepanjang hayat. Satu langkah lagi untuk menghidupkan hati adalah dengan menyalakan cahaya Al-Quran dalam diri kita. Kedekatan seorang mukmin kepada al-Quran bergantung dengan kesungguhannya melalui pelbagai ujian kenaikan tingkatan keimanan. Tangga pertama harus dilalui dengan belajar membaca. Disebabkan cintakan al-Quran dia rela meninggalkan kesenangan dan hiburan yang melalaikan.

Tangga pertama ini tidak dapat didaki dalam masa sehari, ada yang sudah 10 tahun membiasakan diri membaca satu juzuk selepas subuh, tetapi selepas zaman berubah dia pun lalai dan sedikit demi sedikit meninggalkan al-Quran hingga akhirnya tidak sempat menyentuhnya walaupun sesaat.

Tangga kedua yang harus didaki untuk sampai ke puncak al-Quran adalah tangga kajian, seterusnya tangga amalan dan akhir sekali tangga memperjuangkan mesej al-Quran.

Namun, kita tidak nafikan ramai yang terjatuh dan kembali mendaki. Ada pula yang tidak perasan sesungguhnya dia sudah lama berada pada tangga paling bawah saja. Dia tidak sedar cahaya al-Quran yang menghidupkan hati itu hanya dapat diperoleh dengan mencapai keseluruhan tangga-tangga hingga ke puncaknya.

Al-Imam Ibnu Al-Qayyim berkata dalam Al-Fawaid:

“Carilah hatimu di tiga medan, ketika anda membaca al-Quran, ketika berada dalam majlis zikir (ilmu) dan pada saat berkhulwah menyendiri. Jika anda tidak menemukannya dalam tiga medan ini, maka mintalah kepada Allah supaya memberikan kamu hati kerana sesungguhnya anda tidak memiliki hati!”

- Penulis ialah pendakwah dari Sarawak dan boleh dihubungi melalui juanda@kutpm.edu.my
======================

0 comments: